Sunday, November 11, 2012

"ANDAI SAYA SUDAH TIADA DI DUNIA INI ..."

Apakah antara masalah utama apabila diminta bercakap di hadapan khalayak ramai?

Gemuruh?

Ya, itu antara kekangan dikenal pasti.

Dalam entri ini saya ingin berkongsi kaedah menangani gemuruh, barangkali mampu membantu pembaca untuk bercakap secara lebih selesa dan yakin.

Sebagai manusia, berasa  berdebar dan gugup sewaktu berdiri di hadapan audien itu normal. Kita berdebar apabila setiap mata memandang. Pada masa sama, kita menjadi gugup kerana bimbang jika informasi bakal kita sampaikan tidak difahami oleh audien. Kita juga khuatir jika terlupa maklumat ingin kita kongsikan bersama khalayak. 

Penyelesaian kepada masalah itu tidak memerlukan bakat luar biasa atau menuntut dada kita dipenuhi ilmu seperti ilmu dimiliki oleh astronaut terbang mengelilingi cakerawala.

Pengucap awam hanya perlu membuat persediaan rapi dan teliti, berlatih serta menyakinkan diri bahawa mereka mempunyai informasi istimewa untuk dikongsikan bersama audien.

Sebelum bercakap, pastikan maklumat bakal dipersembahkan terbabit tepat dan mudah untuk difahami. Gunakan sumber maklumat sah untuk dijadikan isi kepada ucapan. Di zaman ini, internet menjadi sumber utama maklumat tetapi jika berasa ragu mengenai informasi dipaparkan, sila rujuk kepada mereka berpengetahuan. 

Berlatih bercakap berulang kali secara jujur kepada diri sendiri. Gunakan nota ringkas dalam bentuk talking points sewaktu latihan agar otak berupaya untuk mengupas dan menghuraikan secara tepat kandungan ucapan tanpa teks lengkap. 

Setelah puas berlatih berseorangan, minta bantuan ahli keluarga atau rakan untuk melihat dan menilai gaya dan serta persembahan. Jika di hadapan mereka, kita masih tersasul atau tergagap, lazimnya kejadian sama bakal berulang apabila kita berdiri dan bercakap di hadapan audien lebih ramai.

Andai kita masih tidak berpuas hati dengan keupayaan diri, teruskan latihan biarpun barangkali kita mungkin akan berasa bosan. Berasa malu dengan diri sendiri kerana melakukan kesilapan masih berpeluang diperbetulkan lebih baik berbanding kelihatan kaku sekaligus memalukan diri sewaktu berdiri di hadapan orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif CakapDotCom, Azmil Abdul Aziz berkata ...

"Saya pernah menyertai pertandingan pidato peringkat kebangsaan. Berjalan ke pentas dan kemudian memberikan salam kepada semua penonton. Otak saya kemudian tiba-tiba menjadi kosong dan terlupa semua teks telah saya sediakan sebelum itu. Sepuluh minit saya berdiri kaku tanpa sepatah perkataan terpancul dari mulut. Loceng kemudian dibunyikan, saya mengucapkan terima kasih dan kemudian melangkah turun dari pentas. Tentunya saya berasa malu"

Azmil dalam percubaan berikutnya berjaya merangkul johan pertandiang sama, dua kali.

"Komunikasi memerlukan kemahiran. Kemahiran boleh dipelajari jika wujud minat dan semangat di dalam diri kita. Otak saya juga pernah menjadi kosong, blank sewaktu berlakon teater. Namun dengan ketenangan diri, saya mampu mengingat kembali skrip terbabit. Alhamdulillah," ujar fasilitator ELIT CakapDotCom, Omar Abdullah, 61 tahun.


Seorang lagi fasilitator ELIT CakapDotCom mengakui masih berasa gemuruh sebaik berdiri di hadapan audien.

"Latihan dan pengalaman selama lebih 22 tahun mengendalikan program rakaman dan secara langsung, live, di persada penyiaran negara berupaya meminimakan perasaan gugup itu," kata Zakiah Anas, 46 tahun.


Saya bersetuju dengan kenyataan itu.

Kami di CakapDotCom membuka peluang kepada orang ramai, kakitangan syarikat swasta atau kerajaan untuk menghadiri sesi santai sambil menimba pengalaman berkomunikasi di pentas pengucapan awam.

"Jika saya sudah tiada lagi di dunia ini, sekurang-kurangnya ada ilmu telah dikongsikan bersama masyarakat dan boleh digunakan untuk kebaikan," celah Omar.

Andai berminat untuk bersama kami dalam sesi seterusnya sila hubungi Azmil di talian 013 6366673 atau hantarkan emel ke cakapdotcom@gmail.com.

No comments:

Post a Comment