Thursday, March 14, 2013

FAIZAL TAHIR DI BENGKEL CAKAPDOTCOM




Fasilitator ELIT CakapDotCom, CDC  diberikan kepercayaan oleh Felda untuk berkongsi ilmu komunikasi bersama 25 juruhebah, DJ di bengkel  'Penjanaan trend dan skill  pengacaraan terkini'.

Bengkel terbabit berlangsung di Hotel Vistana, Kuala Lumpur.

Peserta, DJ terbaik dipilih daripada 180 anak Felda berminat tampil di pentas pengucapan awam. 

Majlis dibuka dengan kata-kata aluan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Haji Azmil Abdul Aziz.


Sebelum bengkel bermula, semua peserta diberikan peluang bercakap selama 2 minit di hadapan audien.

Pelbagai ragam mereka dirakamkan.


Tatkala peserta bercakap di hadapan, saya perhatikan,  fasilitator ELIT, Haji Omar Abdull tersenyum.





'Faizal Tahir' turut berada di seminar sama.


Joe, insan berbakat meniru gaya percakapan beberapa individu terkenal turut berada di lokasi sama sebagai pemerhati.

Omar Abdullah merungkai tajuk 'Elemen komunikasi berkesan' disulam dengan jenaka.


Zakiah Anas kemudian mengendalikan sesi berbicara mengenai 'Penampilan dan keselesaan ketika tampil di hadapan audien'.


Tentunya Zakiah mendapat perhatian 'extra' di kalangan peserta bengkel.


Mazidul Akmal Sidik kemudian berkongsi pengalaman,  berhubung topik 'Menangani gemuruh, menggapai keyakinan' sehingga jam 7.15 malam.


Tepat jam 8.30 malam, bengkel disambung semula dengan sesi praktikal selama kira-kira 3 jam. Semua peserta diberikan peluang bercakap di hadapan audien, merungkai subjek mereka minati.


"Kalau menjadi DJ lebih mudah sebab kita terus bercakap dengan orang ramai, boleh memutarkan lagu kalau ide hilang. Ini lain, bercakap seorang diri di hadapan," antara komen peserta.

Saya difahamkan, beberapa peserta sebelum ini pemilik sistem audio, memulakan kerjaya mereka sebagai DJ di majlis rasmi dan perkahwinan. 

\


Terima kasih kerana sudi bersama CDC dan diharapkan ilmu diraih mampu dipraktikkan di sepanjang kerjaya semua terbabit.




Wednesday, February 6, 2013

"AWAK SAYANG SAYA?" (KAEDAH TERBAIK UNTUK MENJAWAB SOALAN ITU)

Mengungkapkan kenyataan penting dalam kehidupan kepada insan tersayang bukan sekadar membuka mulut dan mengeluarkan suara.

Perbuatan itu tidak mencukupi untuk menambat hati dan meninggalkan kesan mendalam di sanubari.

Biar saya huraikan contoh. 

Berdiri seorang lelaki di hadapan kekasihnya, gadis rupawan dan bersifat lemah lembut.

"Awak sayang saya?," tiba-tiba gadis bersuara manja.

Ketika itu si lelaki mempunyai beberapa pilihan untuk menjawab soalan terbabit.

Antaranya,  dia boleh selamba menganggukkan kepala atau berkata "Ya". Namun reaksi sebegitu amat sukar untuk menambat hati wanita. Lumrahnya, wanita ingin melihat keyakinan terpancar pada diri pasangan. 

Tidak kisahlah samada mereka ditipu atau jawaban itu terpancar daripada hati tulus ikhlas.

Jadi ...

Jika lelaki diajukan soalan seperti di atas oleh pasangan mereka, respon perlu diiringi oleh beberapa ciri komunikasi berkesan ...

Pertama, silent is golden. Usah tergopoh-gapah melontarkan jawaban. Be cool, calm and collected. 

Kedua, pandang mata pasangan anda dan jika sedang berdiri, berdiri tegaklah sebagai tanda anda menghormati soalan dan pelontar soalan itu. 

Ketiga, pastikan memek muka atau facial expression anda menyakinkan. Usah tersengeh mahupun tersenyum. Jauh sekali menggaru kepala tidak gatal atau tersipu-sipu seperti wajah monyet liar sedang mengintai wanita mandi di sumur. 

Kemudian ..

Dengan intonasi sedarhana, katakan ...

"Saya tidak sayang awak (berhenti buat seketika atau pause) tetapi saya AMAT menyayangi awak"

Cuba kekalkan hubungan mata atau eye contact buat beberapa saat sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain.

Sila klik di sini untuk berkongsi pandangan.


TIP BERGUNA SEBELUM BERKOMUNIKASI MENGGUNAKAN TELEFON

Bercakap ...

Majoriti kita mempunyai kebolehan itu.

Bercakap secara berkesan di hadapan audien?

Mungkin boleh, mungkin tidak.

Bercakap dan sekaligus memukau perhatian audien?

Itu belum tentu.

Bercakap secara berkesan dan memukau audien memerlukan kemahiran. Kemahiran boleh diasah.

Siapapun anda ...

Apapun jawatan anda ...

Apa jua kerjaya anda ...

Kita semua dituntut untuk bercakap! 

Saya kongsikan satu panduan mudah dan praktikal boleh diaplikasikan sewaktu berkomunikasi untuk dipraktikkan oleh pembaca blog. 

Jika membuat atau menerima panggilan telefon, pastikan anda mengukirkan senyuman sebelum bercakap. Ya, pemanggil atau individu dihubungi tidak berpeluang melihat wajah kita tetapi mereka pasti  merasakan suasana ceria ketika berkomunikasi. 

Justeru kita semua tidak perlu menjawab panggilan seperti masih berbaring di atas katil pada waktu pagi.

Suara kurang jelas dengan mata belum terbuka luas dan tubuh masih menggeliat tentunya mempengaruhi intonasi sewaktu berkomunikasi. Maka senyumlah terlebih dahulu sebelum bercakap biarpun matahari baru sahaja mengintai alam ini.

Jika terdapat sebarang soalan atau kemusykilan berhubung teknik komunikasi selama ini dipendamkan, sila ajukan kepada kami.

InsyaAllah, kami akan cuba untuk memberikan jawaban terbaik.

Pembaca juga dipersilakan untuk menghubungi Haji Azmil Abdul Aziz, 013 6366673, andai berminat untuk menyertai sesi singkat santai bersama fasilitator ELIT CakapDotCom.

Friday, February 1, 2013

CABARAN PENGACARA MAJLIS

Melaksanakan tugas sebagai pengacara majlis bukan sukar kepada mereka berpengalaman. Alah bisa tegal biasa.

Di ruang ini, saya ingin berkongsi antara peristiwa istimewa ditempuh di sepanjang kerjaya saya mengacarakan pelbagai majlis di seluruh pelusuk tanahair.

"Terima kasih kerana sudi datang," ujar rakan berstatus 'datuk'.

Saya diundang untuk menjadi tetamu VIP di majlis persandingan adik beliau diadakan di private house terletak di Kuala Lumpur. Memang saya berhajat untuk tiba awal, bertujuan  meluangkan masa, berbual bersama rakan saya kenali sewaktu menuntut di institusi pengajian tinggi.

Majoriti tetamu termasuk timbalan menteri kabinet telah mengambil tempat dan jam tangan saya menunjukkan pukul 8.10 malam. Tiba-tiba rakan terbabit kelihatan gelisah bak mencari seseorang.

"Nampaknya emcee saya tidak datang. Bolehkah bro menjadi emcee?," soal beliau.

Emcee, pengacara majlis dimaksudkan itu, seorang pekerja syarikat televisyen berbayar dan dikenali kerana mengendalikan program bual bicara agak terkenal.

"Jika tidak tersilap, saya melihat dia (pengacara) bersiaran secara langsung dari Sabah petang tadi," ujar saya.

Datuk terbabit mendiamkan diri.

"Bolehkah bro menjadi emcee? Saya cuba menelefon dia tetapi tidak boleh dihubungi," ujar  rakan itu lagi.

Majlis meraikan pasangan pengantin dijadualkan bakal berlangsung kira-kira 20 minit sahaja lagi. Waktu itu tiada tetamu mengetahui emcee majlis gagal menghadirkan diri. 

"Tiada masalah," balas saya yakin.

Pantas saya meminta sehelai kertas bersaiz A4 lalu mencatatkan senarai nama VIP untuk dibacakan sewaktu membuka bicara sebagai tanda hormat. Dalam tempoh singkat itu, saya juga mencatatkan senarai nama semua ahli keluarga terdekat bakal menyempurnakan acara restu pengantin. 

Sebelum ini, lazimnya pengantin ditepung tawar dalam acara merenjis tetapi kini aktiviti itu telah mula dikesampingkan. Ahli keluarga, seperti ibu dan ayah mempelai hanya naik ke pelamin untuk bersalaman dengan pasangan pengantin, mengabadikan gambar dan kemudian turun dari pelamin. 

Kurang 5 minit, sebaik senarai terbabit lengkap, saya kemudian dihampiri lelaki bergelar ustaz.

"InsyaAllah, saya akan membacakan selawat. Encik Mazidul emcee malam ini ke?," soal lelaki bersongkok dan berbaju Melayu itu.

"Ya," ujar saya.

"Boleh tahu,  bilakah saya akan mula berselawat?," tanya beliau lagi.

Sewaktu ustaz terbabit tercegat menunggu jawaban, pantas saya menggamit lelaki muda menjadi pengurus acara majlis terbabit.

"Ustaz ini akan membacakan selawat, nanti boleh tolong que saya kalau pengantin sudah bersedia untuk melangkah masuk ke dewan dan berjalan menuju ke pelamin?," pinta saya.

Lelaki itu mengangguk.

"Ustaz jangan bimbang, nanti apabila majlis akan bermula, InsyaAllah saya akan bagi isyarat  dan ustaz datang berdiri di sebelah saya berhampiran rostrum. Sebaik saya mengumumkan ketibaan pasangan pengantin, ustaz boleh mula berselawat," jelas saya.

Beliau kelihatan berpuas hati.

Tepat pada jam 8.29 malam, saya bergerak ke rostrum di pentas utama dan berdiri di hadapan semua tetamu. Di sebelah saya, kumpulan pemuzik bakal membuat persembahan telah bersedia. Apapun, saya percaya mereka tidak tahu, saya hanya mengambil alih tugas emcee gagal muncul pada malam itu.

"Relaks Mazidul, awak telah lama menjadi pengacara majlis secara langsung. Ini hanya satu lagi daripada kejadian menarik tanpa diduga. Awak melakukakannya untuk membantu rakan agar majlis ini berjalan lancar. Semua tetamu tidak perlu tahu, apa sedang terjadi. Mereka semua menerima awak sebagai pengacara majlis biarpun tanpa dibayar," bisik hati saya kepada diri sendiri.

Alhamdulillah, biarpun tanpa skrip dan hanya berbekalkan sehelai kertas di tangan, majlis berlangsung secara teratur.  Selepas selawat dilaungkan, saya menyampaikan ucapan alu-aluan, mewakili keluarga pengantin, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua tetamu menghadirkan diri. Restu pengantin kemudian menyusul, 10 tetamu VIP dan ahli keluarga terdekat menyempurnakan acara terbabit termasuk timbalan menteri wanita sambil diiringi kumpulan pemuzik.  Saya sempat mendekati dan mendapatkan maklumat mengenai kumpulan terbabit sekaligus memperkenalkan mereka kepada semua.

Selepas pengantin makan malam dan memotong kek, majlis hampir berakhir. Saya kemudian mempersilakan pasangan pengantin bergerak ke pintu utama untuk mengucapkan selamat jalan dan terima kasih kepada semua tetamu. 

Adakah saya berdebar sewaktu melaksanakan tugas terbabit biarpun sekadar bidan terjun?

Tidak kerana ketenangan menjadi pendamping saya. 

Sewaktu mengendalikan majlis makan malam sebuah syarikat korporat di hotel terkemuka, saya mengumumkan ...

"Baiklah, saudara dan saudari sekelian, bersama kita saksikan the food presentation, dipersembahkan oleh kakitangan hotel ....."

Satu, dua, tiga, empat, lima ...

Tiada kakitangan banquet  hotel muncul dari ruang dapur hotel biarpun muzik telah mula dimainkan ...  semua tetamu menunggu ...

"Tolong berhentikan muzik buat seketika, kita akan melakukan lintas langsung ke dapur hotel ini untuk menyingkap kejadian sebenar," celah saya.

Tetamu tertawa. 

Pantas saya mengambil cordless microfon dan bergerak tanpa diduga menuju ke pintu dapur hotel.

"Baiklah, kini saya berada di dapur dan dapat menyaksikan betapa tersusunnya pergerakan mereka bakal muncul di hadapan anda semua, sebentar sahaja lagi," kata saya.

... walhal hakikatnya, sekumpulan kakitangan terbabit dalam acara food presentation  itu baru sahaja kelihatan bersedia akibat koordinator majlis dilantik tidak peka. Biarpun makanan sudah tersedia, dia gagal mengarahkan pekerja banquet bergerak keluar tepat pada waktunya. 


Di ruang dapur itu, dalam waktu terhad, saya sempat mengajukan soalan kepada chef mengenai juadah istimewa bakal disajikan kepada semua tetamu. 


Setelah isyarat diberikan, mereka bersedia melangkah dalam satu barisan.

"Music please! Baiklah, sidang hadirin sekalian ...  persembahan hebat ini khusus dirangkakan untuk semua tetamu sabar menunggu ... the food presentation dari kakitangan hotel, dipersilakan," ujar saya sambil berjalan keluar dari dapur.

Tepukan gemuruh menyambut kenyataan itu.

Hakikatnya, ramai antara kita berminat menjadi pengacara majlis namun tidak semua berkemahiran lalu hajat itu tidak kesampaian.

Apapun,  ketahuilah, kemahiran boleh dipelajari dan diasah.

Lazimnya, pengacara majlis dibayar lumayan hanya untuk tugasan waktu singkat. Sebilangan mereka diupah di antara RM5,000 dan RM10,000 dalam tempoh kira-kira 2 jam, bergantung kepada pengalaman diraih di pentas pengucapan awam. Justeru tugas pengacaraan mampu dijadikan sumber rezeki oleh mereka komited menjalankan tugas.

9 Januari lalu, saya diberikan penghormatan menjadi pengacara majlis resepsi perkahwinan Zakiah Anas dan suami di Kuala Lumpur.


Ramai tetamu VIP dan artis tempatan hadir menyerikan majlis itu. 

Biarpun Zakiah kenalan rapat, saya tetap datang lebih awal untuk meninjau persiapan,  lokasi dan mencuba peralatan audio disediakan. Pada masa sama, saya berpeluang mendapatkan informasi mengenai pemuzik membuat persembahan di malam bersejarah terbabit.


Syukur, majlis terbabit berjalan lancar,  gilang gemilang.

Apakah antara kemahiran perlu dikuasai untuk menjadi pengacara majlis? Protokol perlu dipatuhi? Bagaimanakah untuk menjadi pengacara majlis berjiwa tenang dan versatile? Apakah perlu dilakukan sekiranya berhadapan pelbagai cabaran tidak dijangka sewaktu majlis berlangsung? 

Kepada pembaca berminat untuk mengetahui jawaban kepada soalan itu sekaligus  berhasrat meraih ilmu dalam bidang pengacaraan pelbagai majlis, sila hubungi Ketua Pegawai Eksekutif CakapDotCom, Haji Azmil Abdul Aziz di talian 013 63 666 73.

Sesi latihan santai terbuka untuk semua tetapi dalam jumlah terhad, maksimum 25 peserta  sahaja.

'MENANGANI GEMURUH,  MENGGAPAI KEYAKINAN DI PENTAS PENGUCAPAN AWAM'

Monday, January 14, 2013

MEJA BULAT ATAU BERSEGI EMPAT?

Adakah fasilitator ELIT CakapDotCom hanya berkongsi pengalaman untuk menggilap kemahiran pengucapan awam peserta sesi di pentas sahaja?

Jawabannya, tentu tidak.

Sesi santai bersama, klik fasilitator ELIT membuka ruang dan peluang kepada semua peserta untuk mengajukan pelbagai soalan berhubung komunikasi secara am.

Contohnya, sewaktu bersembang bersama rakan, biarpun seorang sahaja, bagaimanakah untuk membaca bahasa tubuhnya? Bahasa tubuh atau non-verbal communication penting untuk difahami agar kita tidak membosanakan audien tanpa mengira bilangan mereka.

Ketika berbual, jika rakan dilihat berpeluk tubuh dan mula bersandar, itu antara petanda jelas menunjukkan dia mula berasa bosan dengan perbualan berlangsung. Dalam erti kata lain, hatinya mungkin berbisik, "berhentilah bercakap" atau "cukuplah". Apakah reaksi kita? Berhenti bercakap dan pesanlah minuman lain andai berada di gerai atau restoran sebelum menyambung semula perbualan.

Kedua, andai hubungan mata atau eye contact rakan tidak lagi konsisten memandang ke arah kita, tumpuannya berkemungkinan tersasar. Melihat reaksi sebegitu, jemput rakan terbabit untuk melakukan aktiviti berbeza selain daripada menyumbatkan kata-kata ke telinganya.

Ketiga, perhatikan pergerakan tangan rakan sewaktu berbual. Jika dia secara perlahan mula memegang, mengusap atau menyentuh objek berdekatan seperti kerusi, telefon bimbit atau kotak rokok, lebih  baik kita mengubah topik perbualan dan menggunakan intonasi berbeza agar sembang menjadi lebih menarik berbanding sebelumnya.

Ramai antara kita sering berbincang bersama kumpulan tertentu, bertujuan untuk meraih projek menguntungkan samada untuk individu atau syarikat. Dalam situasi itu, kita harus berupaya menyakinkan kumpulan terbabit, contohnya, perkhidmatan kita tawarkan lebih baik berbanding perkhidmatan ditawarkan oleh individu atau syarikat lain.


Kajian mendapati, untuk mencapai persetujuan, to close deal, ada baiknya perbincangan itu menggunakan meja bulat berbanding meja bersegi empat.

Mengapa?

Perhatikan, tanpa disedari, di meja bersegi empat, kita lazimnya membina 'daerah dan sempadan maya'. Barangan seperti komputer tablet, telefon mudah alih ataupun pen contohnya, diletakkan di dalam 'daerah' tertentu. Jika diteliti, mereka duduk di meja sama juga bertindak sama walhal kita ingin mencapai titik pertemuan memuaskan hati kedua pihak dalam diskusi terbabit.

Ringkasnya, secara zahir setiap individu berkongsi meja sama tetapi di dalam hati mungkin berbisik ... 

"Itu kawasan awak, ini kawasan saya"  

Barangkali ramai pernah mendengar perihal 'Rundingan Meja Bulat', perbincangan untuk mencapai persetujuan di antara dua pihak. Meja bulat tidak membenarkan peserta membina 'daerah dan sempadan maya' sekaligus peserta berasa mereka berkongsi segalanya diruang tanpa batasan. Setiap ide dan pendapat berpeluang untuk dikongsikan bersama peserta lain.

Justeru itu, pemilihan meja bersesuaian, penting khususnya kepada individu atau kumpulan berhasrat to close deal dengan pihak lain.

Contohnya, ejen syarikat insuran lebih bijak jika menggunakan meja bulat sewaktu bertemu dan berbincang bersama prospect client berbanding meja bersegi empat.

Jika berminat menghadiri sesi bersama fasilitator ELIT CakapDotCom, sila hubungi Haji Azmil Abdul Aziz di talian 013 63 666 73.

Tuesday, November 20, 2012

PENDAFTARAN DIBUKA: PROGRAM PENGACARAAN DAN PERUCAPAN AWAM

BERITA BAIK!!! 
PENDAFTARAN DIBUKA SEKARANG!! JANGAN LEPASKAN PELUANG INI..

SESI ISTIMEWA
PROGRAM PENGACARAAN AND PERUCAPAN AWAM

Berkongsi ilmu dan pengalaman dengan Fasilitator Elit

Zakiah Anas, Hj Omar Abdullah dan Mazidul Akmal Sidik

Tarikh : 1 Disember 2012
Masa : 9 pagi - 12:30 tengahari
Tempat : Kota Damansara


Program ini sesuai untuk :
  • Sesiapa ingin memperkasakan kemahiran pengucapan awam.
  • Sesiapa bercita-cita untuk menjadi pengacara TV, mempersiapkan diri sebelum menghadiri ujibakat.
  • Sesiapa ada keperluan atau cita-cita mengendalikan majlis.
  • Sesiapa sering dijemput memberikan ucapan, contohnya Ketua-ketua Jabatan.
  • Sesiapa banyak berinteraksi dengan orang ramai, contohnya mereka dalam bidang jualan atau terbabit dalam khidmat pelanggan.


Sila hubungi saya, Azmil di talian 
013 63 666 73 atau emel ke cakapdotcom@gmail.com untuk mendapatkan perincian program.


Sunday, November 11, 2012

"ANDAI SAYA SUDAH TIADA DI DUNIA INI ..."

Apakah antara masalah utama apabila diminta bercakap di hadapan khalayak ramai?

Gemuruh?

Ya, itu antara kekangan dikenal pasti.

Dalam entri ini saya ingin berkongsi kaedah menangani gemuruh, barangkali mampu membantu pembaca untuk bercakap secara lebih selesa dan yakin.

Sebagai manusia, berasa  berdebar dan gugup sewaktu berdiri di hadapan audien itu normal. Kita berdebar apabila setiap mata memandang. Pada masa sama, kita menjadi gugup kerana bimbang jika informasi bakal kita sampaikan tidak difahami oleh audien. Kita juga khuatir jika terlupa maklumat ingin kita kongsikan bersama khalayak. 

Penyelesaian kepada masalah itu tidak memerlukan bakat luar biasa atau menuntut dada kita dipenuhi ilmu seperti ilmu dimiliki oleh astronaut terbang mengelilingi cakerawala.

Pengucap awam hanya perlu membuat persediaan rapi dan teliti, berlatih serta menyakinkan diri bahawa mereka mempunyai informasi istimewa untuk dikongsikan bersama audien.

Sebelum bercakap, pastikan maklumat bakal dipersembahkan terbabit tepat dan mudah untuk difahami. Gunakan sumber maklumat sah untuk dijadikan isi kepada ucapan. Di zaman ini, internet menjadi sumber utama maklumat tetapi jika berasa ragu mengenai informasi dipaparkan, sila rujuk kepada mereka berpengetahuan. 

Berlatih bercakap berulang kali secara jujur kepada diri sendiri. Gunakan nota ringkas dalam bentuk talking points sewaktu latihan agar otak berupaya untuk mengupas dan menghuraikan secara tepat kandungan ucapan tanpa teks lengkap. 

Setelah puas berlatih berseorangan, minta bantuan ahli keluarga atau rakan untuk melihat dan menilai gaya dan serta persembahan. Jika di hadapan mereka, kita masih tersasul atau tergagap, lazimnya kejadian sama bakal berulang apabila kita berdiri dan bercakap di hadapan audien lebih ramai.

Andai kita masih tidak berpuas hati dengan keupayaan diri, teruskan latihan biarpun barangkali kita mungkin akan berasa bosan. Berasa malu dengan diri sendiri kerana melakukan kesilapan masih berpeluang diperbetulkan lebih baik berbanding kelihatan kaku sekaligus memalukan diri sewaktu berdiri di hadapan orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif CakapDotCom, Azmil Abdul Aziz berkata ...

"Saya pernah menyertai pertandingan pidato peringkat kebangsaan. Berjalan ke pentas dan kemudian memberikan salam kepada semua penonton. Otak saya kemudian tiba-tiba menjadi kosong dan terlupa semua teks telah saya sediakan sebelum itu. Sepuluh minit saya berdiri kaku tanpa sepatah perkataan terpancul dari mulut. Loceng kemudian dibunyikan, saya mengucapkan terima kasih dan kemudian melangkah turun dari pentas. Tentunya saya berasa malu"

Azmil dalam percubaan berikutnya berjaya merangkul johan pertandiang sama, dua kali.

"Komunikasi memerlukan kemahiran. Kemahiran boleh dipelajari jika wujud minat dan semangat di dalam diri kita. Otak saya juga pernah menjadi kosong, blank sewaktu berlakon teater. Namun dengan ketenangan diri, saya mampu mengingat kembali skrip terbabit. Alhamdulillah," ujar fasilitator ELIT CakapDotCom, Omar Abdullah, 61 tahun.


Seorang lagi fasilitator ELIT CakapDotCom mengakui masih berasa gemuruh sebaik berdiri di hadapan audien.

"Latihan dan pengalaman selama lebih 22 tahun mengendalikan program rakaman dan secara langsung, live, di persada penyiaran negara berupaya meminimakan perasaan gugup itu," kata Zakiah Anas, 46 tahun.


Saya bersetuju dengan kenyataan itu.

Kami di CakapDotCom membuka peluang kepada orang ramai, kakitangan syarikat swasta atau kerajaan untuk menghadiri sesi santai sambil menimba pengalaman berkomunikasi di pentas pengucapan awam.

"Jika saya sudah tiada lagi di dunia ini, sekurang-kurangnya ada ilmu telah dikongsikan bersama masyarakat dan boleh digunakan untuk kebaikan," celah Omar.

Andai berminat untuk bersama kami dalam sesi seterusnya sila hubungi Azmil di talian 013 6366673 atau hantarkan emel ke cakapdotcom@gmail.com.